Terengganu FC ikat 10 pemain baharu menjelang Liga Malaysia

Terengganu FC ikat 10 pemain baharu menjelang Liga Malaysia

Pasukan bola sepak Terengganu Football Club (TFC) mengikat 10 pemain baharu dan mengekalkan 15 pemain lama pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.??

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata pemain-pemain baharu itu ialah Ahmad Shamim Yahaya dan Muhamad Khairul Azrin dari Felda United, serta Muhamad Ilham Amirullah Razali, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Khairul Anwar Shahruddin (Negeri Sembilan FA).

Turut mengukuhkan pasukan TFC ialah Mohd Haidir Suhaimi, Muhammad Shahrin Sapien dan Muhammad Mohd Fauzi Terengganu Football Club (TFC) II , Mohamad Shafawi Mohamad (TFC III) dan Muhammad Azalinullah Mohamed Alias (PJ Rangers).

“Pemilihan pemain baharu itu dilihat mampu memberi impak positif kepada kekuatan pasukan itu selaras misi membawa balik piala Liga Malaysia ke Terengganu dan melayakkan pasukan ke saingan Asian Football Confederation (AFC),” katanya dalam sidang media di pejabat PBSNT, di sini hari ini.

Turut hadir, pengurus pasukan, Shahrizan Mohd Zin dan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Hishamuddin berkata TFC turut mengekalkan 11 pemain tempatan pasukan berkenaan iaitu Adib Aizuddin Ab Latif, Mohd Ashari Shamsudin, Hanizaidi Jamian, Abdul Malik Mat Arif, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Nasrullah Hanif Johan, Mohamad Kamal Azizi Zabri, Mohd Suffian Ab Rahman Kungi Raman, Mohd Shahrul Aizad Zukuflli dan Mohd Radhi Mohd Yusof.

Selain itu pasukan itu turut mengekalkan empat pemain import iaitu Kipre Tchetche Hermann Brice, Lee Andre Tuck, Igor Zonjic dan Chanthacheary Bin.???????

Anggota Dewan Undangan Negeri Tepoh itu berkata seorang lagi pemain import kuota dari negara Asia juga sudah dimuktamadkan namun identiti pemain itu hanya akan didedahkan pada pertengahan bulan depan.

Katanya bagi mencari keserasian antara pemain baharu dan lama TFC dijangka mengadakan siri perlawanan persahabatan bersama kelab bola sepak tempatan dan luar negara di samping sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Malaysia yang dijangka bermula awal Februari depan.

“Kita juga turut menerima dana daripada Malaysia Football League (MFL) bagi membaiki mutu dan prasarana padang Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Gong Badak sebagai antara persiapan latihan serta perlawanan untuk musim depan,” katanya.

— BERNAMA