Malaysia Dateline

Terengganu hanya ada 335 katil di empat pusat kuarantin Covid-19

Kerajaan negeri Terengganu mempunyai 335 katil keseluruhannya di empat pusat kuarantin Covid-19 dengan Hospital Hulu Terengganu (HHT) memiliki paling banyak iaitu 156 unit katil.

Selain itu, Scout Inn mempunyai 77 katil, Hospital Sultanah Nur Zahirah (58) dan Pusat Latihan di Tepoh 44 katil bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri itu.

Butiran tersebut didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak pada sidang media berkenaan isu Covid-19 di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.

Setakat ini, kata Dr Alias, hanya HHT diaktifkan bagi menempatkan 87 penghuni madrasah di Kubang Bujuk di Serada dekat Kuala Terengganu yang disyaki dijangkiti Covid-19.

“Sekiranya berlaku pertambahan kes, pihaknya akan mencadangkan beberapa lokasi lain untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Ia akan merangkumi semua daerah di Terengganu dan hospital yang dijadikan pusat berkenaan juga akan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut tentang 87 penghuni madrasah itu, beliau berkata, mereka terbabit dikuarantin di wad kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Selangor yang singgah di madrasah tersebut sebelum ini.

Untuk rekod, mulai 12 Mac lalu jumlah kes baharu positif Covid-19 melonjak daripada 9 kes kepada 39 kes (13 Mac), 41 kes (14 Mac) dan mendadak sehingga 190 kes pada 15 Mac lalu.

Semalam, 125 kes baharu dicatatkan dengan sebanyak 95 daripadanya adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 setakat tengah hari semalam mencecah 553 kes.

Daripada jumlah itu, 511 kes masih dirawat manakala 12 kes lagi sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).