Malaysia Dateline

Terengganu masih antara negeri termiskin, bajet negeri RM2 bilion setahun

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman beserta rakan-rakan Umno dan BN Terengganu perlu menjelaskan kepada rakyat negeri ini mengapa Terengganu masih berada dalam kalangan empat negeri termiskin di Malaysia walaupun bajet mencecah RM2 bilion setahun.

Kajian Universiti Malaysia Terengganu mendapati wujud komuniti nelayan dengan pendapatan RM460 sebulan di Kampong Teluk Ketapang yang terletak berhampiran kawasan MB Terengganu.

Sama juga kajian yang dibuat oleh Khazanah mendapati keluarga nelayan di Kemaman, iaitu kawasan Parlimen Menteri Pertanian, Datuk Shaberry Cheek, masih berpendapatan di bawah RM500 sebulan.

Demikian kata Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, rakyat Terengganu ingin tahu mengapakah projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri setakat ini kebanyakannya bermasalah dan terus memerlukan pembaikan.

“Rakyat juga ingin tahu kenapakah setiap Menteri Besar hanya ghairah memberi projek kepada pemborong tetapi tidak memastikan ia dibina dan siap dengan baik?

“Sebelum projek terdahulu disiapkan dengan sempurna, kerajaan tergesa-gesa memulakan projek besar yang baharu pula.

Kata beliau, urus tadbir projek dan kewangan yang tidak sihat kelihatan berterusan dalam kerajaan Terengganu.

“Kalau MB sebelumnya meninggalkan projek yang sakit dan bermasalah, Razif berbelanja sama besar setiap tahun tanpa mewujudkan apa-apa projek baharu yang boleh dilihat dan yang boleh dibanggakan oleh rakyat.

“Biasiswa dan pinjaman untuk pelajar anak Terengganu dari Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu telah dihentikan atau dipotong tetapi kerajaan sendiri masih berbelanja seperti biasa.

“Kerajaan tidak bersedia berkorban dengan berjimat tetapi pelajar anak muda dikorbankan. Ramai pelajar seberang laut termasuk di Timur Tengah menjadi mangsa.

Di manakah pembelaan generasi anak muda Terengganu? soal Ahli Parlimen Terengganu itu.