Terengganu, Perak bakal berentap di pentas final

Terengganu, Perak bakal berentap di pentas final

Penyerang prolifik negara, Faizal Saari membantu skuad Terengganu melangkah ke pentas final Divisyen Satu Kejohanan Piala Tun Abdul Razak ke-55 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Pada perlawanan separuh akhir, Faizal menghadiahkan dua gol untuk pasukan juara bertahan itu mengalahkan Negeri Sembilan 2-1, sekali gus berentap dengan Perak di final, esok.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mampu menyekat serangan awal serta ketangkasan penjaga gol nombor 1 negara, S. Kumar.

Biarpun turun sebagai pasukan ‘underdog’, Negeri Sembilan mampu mendahului saingan babak pertama

menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh bekas pemain negara, Dangerous Lee pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Faizal hanya memerlukan tempoh lima minit dalam babak kedua untuk mencatat kejayaan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dan jaringan padang tiga minit kemudian.

Sementara itu, Perak mengesahkan slot final setelah mengalahkan Melaka 2-1 menerusi penentuan penalti ‘shoot-out’ selepas saingan separuh akhir berkesudahan tanpa jaringan.

Bekas penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin muncul wira pasukan Perak apabila menyelamatkan lima daripada enam pukulan penalti ‘shoot-out’.

Melaka menjaringkan penalti pertama melalui Muhammad Ashraf Zuhry Mahat sebelum Muhammad Haziq Samsul mengikat kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, ketika ‘shoot-out kalah mati, Melaka gagal menambah sebarang gol dan Muhammad Haziq menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila menewaskan penjaga gol Melaka, Mohd Hanafi Hassan untuk membawa Perak ke pentas akhir.

Bagi perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam menyaksikan Kuala Lumpur membenam Pulau Pinang 6-1, manakala PDRM bakal turun ke Divisyen Dua musim depan apabila tewas 3-1 kepada Johor menerusi penalti \’shoot-out\’ selepas terikat 3-3.

Esok, Melaka dan Negeri Sembilan akan bertemu bagi penentuan tempat ketiga dan keempat Divisyen Satu, sementara ATM bertemu Pahang untuk penentuan tempat ketiga serta keempat Divisyen Dua.

Penentuan juara Divisyen Dua pula akan menyaksikan pertemuan antara Selangor dengan Perlis.

CATEGORIES