Malaysia Dateline

Terengganu rancang 37 projek berimpak tinggi pacu pembangunan ekonomi negeri

Kerajaan negeri telah mengenal pasti 37 projek berimpak tinggi bagi memacu pembangunan fizikal dan ekonomi negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata 31 projek di peringkat negeri dan enam projek di peringkat daerah itu akan mewujudkan kluster ekonomi baharu bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap hasil royalti minyak.

Beliau berkata antara projek yang dirancang adalah pembangunan Pusat Akuakultur dan Fidlot di Hulu Terengganu serta Dungun, dan menurutnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, tanah-tanah terbiar di luar bandar akan dimanfaatkan secara optimum.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula), di Wisma Darul Iman, pada Isnin..

Menurutnya kerajaan negeri juga memberi keutamaan bagi pelaksanaan projek melalui insiatif pelaburan swasta atau ‘Smart Partnership’ bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berkata menerusi inisiatif ini para pemaju dan syarikat luar diberi ruang memajukan Skim Perumahan Mampu Milik dan Bandar Baharu Lestari, di samping terlibat dalam sektor perindustrian serta perhotelan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar itu berkata mesyuarat mingguan ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini akan berbincang dan menimbangkan secara keseluruhan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Katanya kerajaan negeri juga akan membuat penilaian dari masa ke semasa mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan mengikut keperluan mangsa banjir yang terjejas.– BERNAMA