Malaysia Dateline

Terengganu sambut baik cadangan SPRM wujudkan unit integriti di pejabat MB

Terengganu menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan unit integriti di pejabat menteri besar sebagai usaha mencegah amalan rasuah atau penyelewengan di dalam pentadbiran negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat kerajaan negeri termasuk mengenai cara pelaksanaannya supaya objektif yang diingini tercapai.

“Kami akan bincang di peringkat kerajaan (negeri) sama ada mengambil pegawai yang dipinjamkan dari SPRM atau memilih pegawai daripada kerajaan negeri sendiri yang kami latih dari segi integriti dan pencegahan rasuah.

“Kami boleh hantar pegawai kami ke ibu pejabat SPRM untuk mendapatkan latihan tertentu dan setelah itu kembali bertugas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang 5A Peringkat Daerah Setiu 2019 di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, pada Isnin.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam satu majlis di Kuala Terengganu hari ini menyeru semua negeri mencontohi langkah Sarawak yang mengambil tindakan itu dengan mewujudkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION).

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang tohmahan terhadap pentadbiran tertinggi kerajaan negeri dan memulakan proses ketelusan pentadbiran.– BERNAMA