Terengganu tiada masalah Adun isytihar harta, kata MB

Terengganu tiada masalah Adun isytihar harta, kata MB

Kerajaan negeri Terengganu sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan mahu mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta masing-masing.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun berkata kerajaan negeri perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut daripada SPRM mengenai perkara itu.

“Secara umumnya kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk pengisytiharan (harta) dan sebagainya, cuma dari segi teknikaliti itulah yang perlu kita selesaikan kerana semestinya ia perlu juga selaras dengan rakan-rakan di negeri yang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Integriti Darul Iman di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mahu mewajibkan ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.-BERNAMA