Malaysia Dateline

Teresa bidas Isham: ‘Mudah tuduh orang lain “bodoh” tapi boleh kena batang hidung sendiri’

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan Umno Selangor, Isham Jalil yang menganggap ramai menteri yang “bodoh” sewaktu era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Anggapan itu termasuk beliau kerana semasa Menteri Industri Utama menggalakkan rakyat minum sesudu minyak sawit merah sehari untuk kebaikan kesihatan.

“Mengapa pemimpin Umno hina khasiat minyak sawit merah dengan menyifatkan usaha mempromosinya sebagai tindakan “bodoh”?

“Saya terkejut dengan kenyataan Isham yang bukan sahaja tidak berasaskan fakta dan sains tetapi juga menentang dasar kerajaan berhubung hasil kelapa sawit yang menjadi kebanggaan Malaysia.

“Saya tidak tahu sama ada beliau belajar sains daripada media sosial atau beliau tidak yakin dengan kerajaan, sama ada yang ditadbir oleh PH atau Barisan Nasional (BN), untuk mempertahankan komoditi negara,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Isham Jalil

Terdahulu, Isham menyenaraikan 18 “kebodohan” menteri PH bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua bahawa negara ini tidak mempunyai “menteri bijak”.

Selain gesaan Teresa supaya rakyat minum sesudu minyak sawit merah sehari, turut disenaraikan bantuan RM30 yang diumum bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pengenalan kereta terbang oleh bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, “kejayaan besar” bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengubah penggunaan kasut sekolah berwarna putih kepada hitam.

Mengulas lanjut, Teresa menjelaskan bahawa minyak sawit merah sangat berkhasiat dan terbukti kebaikannya hingga disokong pakar sains dan pengkaji minyak sawit di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Ia bukan minyak masak kelapa sawit biasa yang telah melalui proses penapisan. Masih ramai yang jahil dan keliru tentang hal ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Teresa menggesa supaya Isham membuat ‘home work’ tentang produk kebanggaan negara, termasuk minyak sawit merah, dan bukannya menjatuhkan imej produk Malaysia yang penting.

Dalam masa sama, pemimpin DAP itu juga berharap ejekan Isham terhadap cadangan minum sesudu minyak sawit merah tidak akan dijadikan bahan kempen antikelapa sawit oleh pihak antarabangsa yang bertujuan menjejaskan hasil keluaran serta eksport negara.

“Memang mudah untuk menuduh orang lain “bodoh” tetapi kesannya boleh kena batang hidung sendiri.

“Saya berharap pemimpin politik sama ada PH atau PN/BN, serta seluruh rakyat Malaysia terus menjayakan Kempen Sayangi Sawitku, tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan,” kata Teresa lagi.

Baca Ahli Parlimen DAP persoal Tajuddin jadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Baca 800 kakitangan swasta letak jawatan sebab tak mahu kerja di pejabat