Malaysia Dateline

Teresa dakwa DBKL amal dua darjat, tidak beri peniaga kecil beroperasi

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa wujud layanan dua darjat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membenarkan pasar-pasar beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan penjaja pasar pagi terbuka diarahkan untuk menghentikan operasi dalam tempoh tersebut sehingga 14 Jun depan.

Bagaimanapun katanya, pasar berbangunan, bazaria dan pusat penjaja sebaliknya dibenarkan beroperasi daripada 8 pagi hingga 8 malam dalam tempoh sekatan ini.

“Arahan DBKL tersebut adalah layanan dua darjat bagi aktiviti perniagaan penjaja dan peniaga kecil. Bukankah perniagaan pasar pagi terbuka adalah sama dengan operasi pusat penjaja, pasar berbangunan dan bazaria?

“Kenapa DBKL mengamalkan layanan dua darjat bagi perniagaan kecil tersebut?

“Sebenarnya, pengudaraan pasar pagi terbuka adalah lebih baik berbanding dengan pasar berbangunan dan pusat penjaja. Maka pasar pagi lebih selamat bagi pelanggan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Teresa juga mempersoalkan mengapa DBKL membenarkan operasi pusat penjaja dan bazaria sedangkan kedua-dua perniagaan itu agak sama dengan pasar pagi terbuka dan juga pasar malam.

Beliau juga menyeru agar Menteri Wilayah Persekutuan menyemak semula arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi semua jenis perniagaan kecil khususnya pasar pagi terbuka.

“Saya faham hasrat kerajaan untuk mengurangkan peluang orang ramai berhimpun demi mengurangkan penyebaran Covid-19, tetapi segala arahan PKP mestilah dikeluarkan secara rasional supaya arahan kerajaan tidak dilihat seolah-olah layanan dua darjat.

“Apa yang penting ialah kesemua aktiviti perniagaan penjaja kecil ini dilakukan mengikut SOP kerajaan,” katanya lagi.