Malaysia Dateline

‘Tergamak buat pindaan Akta 342 tidak masuk akal, jemaah menteri busuk hati perut’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan jemaah menteri menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan dalam pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan sehingga masing-masing RM10,000 dan RM1 juta sebagai tidak masuk akal.

“Bagaimana Kabinet boleh bersetuju untuk pindaan ini? Buat undang-undang macam tulis di kedai mamak. Saya bukan mahu menghina pengusaha kedai mamak.

“Mesyuarat Kabinet lulus macam di kedai mamak. Inilah undang-undang yang diluluskan di Kabinet untuk dibawa ke dalam Parlimen.

“Tergamak jemaah menteri termasuk Menteri Agama dan seluruh anggota Kabinet daripada Umno dan Bersatu. Tergamak buat undang-undang denda RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Apa punya hati perut jemaah menteri, busuknya hati perut,” katanya dalam forum menerusi saluran ThePerspektif TV.

Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan pindaan terhadap Akta 342 dalam usaha memerangi Covid-19 tidak harus menghukum.

“Kita mahu ada kawalan, kena pakai pelitup muka, ikut SOP, tapi biar yang berpatutan,” tambahnya lagi.