Beberapa hari ini nama usahawan Sambal Nyet Berapi, Khairul Aming menjadi bualan pengguna media sosial selepas produk sambal miliknya dikatakan telah ‘diciplak’ oleh seorang individu tidak bertanggungjawab.
Malaysia Dateline mendapati sambal nyet tiruan yang menciplak produk original Khairul Aming telah dihebahkan di media sosial sejak minggu lalu lagi.
Namun masih tiada tindakan dari Khairul sehinggalah semalam, apabila usahawan berusia 31 tahun itu akhirnya memaklumkan sudah pun menghantar surat tuntutan (Letter Of Demand) kepada individu terbabit.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, pihaknya telah lama mengetahui hal tersebut namun masih lagi mencari bukti untuk memfailkan tindakan undang-undang.
“Ini Sambal Nyet Khairi yang kita dah beli untuk dijadikan bukti dan untuk kita jejak siapakah peniaga tersebut. Kalau korang boleh nampak, ini Sambal Nyet Khairi dan ini pula Sambal Nyet Berapi kita punya. Sangatlah identical.
“Dekat depan sama, penceritaan sebelah tepi sama, bahagian ramuan sama, poskad pun sama dan penulisan di bahagian khidmat pelanggan juga sama.
“Kami dah kenal pasti siapakah seller tersebut dan hari ini peguam kita dah hantar Letter of Demand (LOD) untuk pencabulan Hak Harta Intelek dan Penghapusan,” katanya.
Sebanyak lapan tuntutan yang telah disenaraikan pihak Khairul dan sekiranya pihak mereka gagal penuhi kesemua tuntutan tersebut maka mereka akan membawa kes itu ke peringkat seterusnya.
Untuk pengetahuan, Sambal Nyet telah didaftarkan trademark di MyIPO dan telah diluluskan pada 2 Nov 2021.
Di akhir perkongsian, Khairul Aming menyatakan yang dirinya sangat menyokong para peniaga kecil namun hendaklah secara berhemah dan tidak menganiaya orang lain.
“Saya selalu beri sokongan kepada peniaga kecil tapi berniagalah dengan cara yang beretika dan berhemah. Jangan aniaya orang ramai macam ni,” katanya lagi
Baca juga: “Suami tak pernah culas bab jaga anak, tolong buat kerja rumah tapi nakfkah batin…”