“Tergamak mentua samakan aku dan suami dengan tahi cicak, gelar menantu paling tak lawa”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak hancur berkecai apabila menyedari dirinya masih dibenci mentua walaupun sudah melayari bahtera rumah tangga berbelas tahun lamanya.

Menamatkan zaman bujang bersama suami di atas dasar suka sama suka, wanita dikenali sebagai Yana itu rupanya tidak pernah mendapat restu daripada keluarga mentua.

Dilahirkan dengan kulit yang agak gelap, mentua Yana sanggup menyamakannya dengan tahi cicak sekiranya berdiri bersampingan dengan suami iaitu anak mereka.

Sentiasa berdoa agar dirinya diterima dengan ikhlas suatu hari nanti, berikut adalah perkongsian Yana yang masih menderita meskipun sudah berkahwin selama 17 tahun.

“Ibu mentua saya ini duduk di selatan Malaysia. Saya pula dari Utara. Terus terang, saya bukanlah menantu pilihan. Ibu mentua merasakan anaknya terlalu segak dan saya tidak layak. Saudara-mara dan adik-beradik kepada ibu mentua menggelarkan saya ‘menantu yang paling tak lawa’. Suami ada lima orang adik beradik lelaki.

“Kesemua menantu ibu mentua orang luar. Jadi memang putih-putih, cantik-cantik dan hidung terletak. Agaknya sepadanlah dengan anak-anak ibu mentua saya ini yang dikatakan ‘ada rupa dan pelajaran’. Saya ini pula hanyalah wanita biasa yang berkulit hitam manis. Jadi ibu mentua memandang saya dengan penuh rasa hina.

“Mentua kata kalau dipakaikan tanda di dahi, saya seperti orang India. Disulami dengan ketawa kecilnya. Tergamam terkedu saya. Tak tahu nak ‘husnuzon’ macam mana. Mak mertua hanya berani berkata bila ada saya dan dia sahaja. Kalau ada suami tak pernah ibu mentua nak memerli saya. Saya memang jenis diam. Tak menjawab.

“Setiap kali berjumpa ada sahajalah kata-kata perli, cacian dan juga hinaan akan dilemparkan. Hina sangatkah orang berkulit hitam ini? Saya juga rasa suami bukanlah orang buta. Dia memilih saya sebagai isteri mesti ada kelebihan keindahan kita tersendiri. Saya pernahlah juga mengadu dengan suami dan dia juga sudah menegur.

“Suami juga pernah meminta ibunya agar menjaga tutur kata dengan alasan saya ini seorang yang sensitif. Suami cakap tak payah ambil hati. Tetapi kita ini perempuan. Kita boleh tahu orang suka atau tidak. Anak menantu lain, yang cantik yang putih itu ada ke bantu jaga ibu? Yang hitam ini jugalah yang menjaganya bila perlu.

“Saya tak berkira, cuma tak faham. Kita solat, berzikir dan pohon keampunan. Tetapi mengapa di dalam masa yang sama, kita menyakiti menghina ciptaan Allah? Boleh kata semua yang saya buat, nampak salah di sisi ibu mentua. Saya tak tahu nak husnuzon macam mana. Dikatakan macam taik cicak apabila saya berada di samping suami.

“Ditegurnya saya terlalu kurus, lemah lembik. Semuanya dijadikan isu. Ada suatu hari, saya demam. Saya dikatakan tak pandai jaga diri. Ya Allah, salahkah saya demam? Saya terlalu penat kerana harus melayannya yang datang enam bulan di rumah kami. Rupanya saya mengandung dan akhirnya gugur (mungkin kerana tertekan).

“Ibu mentua kalau boleh nak saya sihat selalu agar dapat menjaga cucu dan anaknya dengan baik. Saya husnuzon lagi. Mungkin dia nak jadikan saya ini ibu yang terbaik dan kuat semangat. Itu sahajalah yang selalu saya terapkan di dalam diri. Saya tak pernah berdendam dengannya. Cuma saya sekarang dalam tempoh berkecil hati.

“Terutamanya selepas keguguran tempoh hari. Mungkin kerana saya terlalu tertekan ketika itu. Waktu ibu mentua berkunjung ke rumah, saya sudah rasa seperti orang gaji. Menyediakan makan dan minum setiap pagi, petang, serta malam. Tetapi tidak mengapalah, saya fikir itu sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai menantu.

“Memanglah tanggungjawab perlu melayan ibu mentua. Saya menyantuninya dan sudah berusaha. Namun gugur jugalah air mata kadang-kadang apabila usaha dan penat lelah kita, orang tak hargai walaupun sudah lebih 17 tahun berkahwin. Isu kulit hitam, tak cantik dan tak lawa itu pasti akan timbul setiap kali kami berjumpa.

“Ya Allah lembutkan hati keluarga suamiku supaya dapat menerima aku seadanya. Doakan saya dipermudahkan, sentiasa berlapang dada dan menganggap ini sebahagian dari ujian. Aamiin. Saya memohon agar kita semua diberi kesedaran untuk tidak menghina, menilai seseorang dari fizikal. Hitam, pendek, gemuk, kurus dan bongkok semua itu ciptaan Allah Maha Esa.” Kongsinya dalam sebuah forum.

Baca juga: “Aku rela undur diri sebab tak nak suami dilabel anak derhaka, bila dia tak nak, mak mentua mulalah…”