Tergamak perkosa anak rakan berusia 12 tahun, bapa 3 anak dihukum penjara 15 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang lelaki bergelar bapa yang memiliki tiga cahaya mata sendiri tergamak memperkosa kanak-kanak berusia 12 tahun.

Lebih memburukkan keadaan, mangsa bukanlah orang asing sebaliknya merupakan anak kepada kenalannya yang turut mempunyai hubungan baik dengan isteri pelaku.

Akhirnya menerima padah atas perbuatannya, pelaku yang tidak memiliki pekerjaan itu dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, semalam.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman kepada Mohamad Zainol Hafiz selepas pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Mengikut pertuduhan, Zainol didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu di sebuah rumah di Tanjong Karang, Klang pada 4 pagi, 6 Februari 2022.

Lelaki berusia 26 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad memohon hukuman berat kerana kesalahan itu serius dan melibatkan mangsa bawah umur, lapor Harian Metro.

“Mangsa juga mempunyai hubungan rapat dengan isteri dan anak-anak tertuduh. Sebagai orang dewasa, sepatutnya (pelaku) menjaga dan melindungi kanak-kanak.

“Bukannya (malah) mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berumur 12 tahun.” Kata Nurul ‘Izzati memetik laporan Harian Metro.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh iaitu Izzat Amir Saharudin merayu agar hukuman ringan dijatuhkan kepadanya memandangkan ia kesalahan pertama.

Alasan kedua digunakan peguam adalah kerana pemilik nama sebenar Mohamad Zainol Hafiz Mohamad Azmi itu turut mempunyai tiga orang cahaya mata yang masih kecil.

Difahamkan, seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 4 September lalu.

Hakim Syafeera turut memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam selain mengenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan.

Bukan itu sahaja, Zainol juga akan diberikan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Baca juga: Video Aaisyah Dhia Rana siang ikan di dapur curi tumpuan, tak kekok pun pegang ikan mentah