Tergamak tampar isteri gara-gara bisul, tukang cuci loji dihukum penjara 2 bulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang tukang cuci loji air tergamak menampar isterinya berkali-kali hanya kerana wanita itu enggan mendapatkan rawatan untuk penyakit bisul yang dialaminya di bahagian belakang badan.

Akibat dari perbuatannya itu, tertuduh iaitu Mohd Sahrul Jamaludin dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam di atas pertuduhan menampar isterinya, Isnin lalu.

Pengakuan bersalah berkenaan dilakukan oleh tertuduh yang berusia 39 tahun itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya, lapor Harian Metro.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta isterinya untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas wanita terbabit mengalami bisul di belakang badan namun mangsa tidak mahu menuruti permintaan itu.

Tertuduh kemudian tiba-tiba naik angin lalu memarahi isterinya sehingga berlakunya pergaduhan sebelum lelaki berkenaan bertindak menampar pipi kanan mangsa berkali-kali.

Malah ketika kejadian, tertuduh turut menekan belakang badan isterinya di mana tempat bisul berkenaan tumbuh sehingga mangsa merasa sakit sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Parit Raja pada hari sama.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 30 tahun di sebuah rumah di Parit Raja pada jam 1 pagi, 14 Oktober lalu.

Pendakwaan ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Turut dibaca bersama adalah pendakwaan mengikut Seksyen 326A kanun sama membabitkan penjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan ke atas tertuduh mula berkuat kuasa pada tarikh lelaki berkenaan ditahan iaitu 14 Oktober lalu.

Baca juga: Gara-gara tak balas mesej ‘Good Morning Sayang’, lelaki mengaku bersalah tampar teman wanita