Malaysia Dateline

Tergesa-gesa umum perintah berkurung cetus panik, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan untuk mengeluarkan arahan perintah berkurung (lockdown) tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, hal tersebut boleh mencetuskan panik selain melibatkan banyak pihak.

“Kalau kita umum dalam keadaan tergesa-gesa ia akan cetuskan panik yang berleluasa.

“Kalau nak buat lockdown dia melibatkan banyak pihak seperti tentera, anggota keselamatan, bekalan makanan dan persediaan harus dibuat, bukan boleh semudah-mudahnya umum lockdown,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Amirudin hadir di Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor yang ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata, kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan perintah berkurung dalam berdepan situasi penularan wabak Covid-19 kerana terletak kepada keputusan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Keputusan untuk umum ‘lockdown’ terletak kepada Perdana Menteri dan KDN, peringkat Negeri Selangor saya akan adakan perbincangan bersama Ahli Jawatankuasa Khas Selangor untuk teliti cadangan berhubung wabak Covid-19,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya yakin di peringkat kerajaan Negeri Selangor ia masih berada dalam kawalan walaupun keadaan agak membimbangkan buat masa ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam sidang media petang tadi memberitahu Selangor muncul sebagai negeri paling tinggi kes positif Covid-19 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah dan Johor.