Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Terikat hanya Pas dan Umno, Abdul Hadi tolak MN

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Perikatan Nasional (PN) satu-satunya menjadi gagasan politik yang lebih besar dan perlu berperanan dan berkuasa dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk ini.

Dalam Minda Presiden Pas yang terbaru hari ini, Hadi juga berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

Oleh sebab itulah, katanya Pas menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan Pas sahaja.

Tambahnya, Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.

“Gagasan yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti.

“Dahulunya Umno ialah sebuah gabungan pertubuhan dan kumpulan Melayu sahaja, kemudian berubah menjadi satu parti, di samping parti Melayu yang lain seperti Pas dan Parti Negara.

“Kemudian, Umno menubuhkan Parti Perikatan dengan memasukkan MCA dan MIC dan selepas itu parti-parti dari Sarawak dan Sabah. Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang mengejutkan, maka pada tahun 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN) yang disertai oleh Pas pada awalnya,” kata beliau.

Jelas Hadi, tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang sudah berpenyakit.

Oleh itu, katanya, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan MN yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan PN.

Secara tegasnya kata Hadi, Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain dan Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.

“PAS boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,”ujarnya lagi.

Justeru katanya, Pas hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.