Terima aduan penduduk, Faiz segera turun padang

Terima aduan penduduk, Faiz segera turun padang
Faiz menyampaikan sumbangan baja organik Jabatan Pertanian kepada pekebun Kampung Kebun Sayur dan Cross Street.

Walaupun dalam kesibukan sidang Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil masih sempat meluangkan masa turun padang bagi menemui penduduk yang menghadapi pelbagai masalah sebaik sahaja aduan diterima.

Malah beliau tanpa lengah turut memberi perhatian segera terhadap setiap laporan dan masalah yang diterima.

Faiz menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk.

Jelasnya, masalah banjir yang sering menghantui penduduk Kampung Kebun Sayur dan Cross Street, Bukit Mertajam, turut diberi perhatian serius dengan kadar segera.

“Bagi mengatasi masalah tersebut dialog telah diadakan dengan penduduk kampung terlibat setelah masalah banjir membelenggu mereka sejak sekian lama.

“Pelbagai usaha dan tindakan telah dilakukan sedaya upaya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Namun begitu ia belum lagi berkesan sepenuhnya dan akan diatasi dengan sebaik mungkin, ” tegas beliau.

Menurut Faiz lagi, bagi meringankan beban penduduk yang terlibat dalam tanaman sayuran di kawasan terbabit, beliau telah mengambil beberapa pendekatan.

Tegasnya, ia termasuklah memberikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban penduduk terbabit.

Selain itu katanya, turut diberikan ialah baja organik dari Jabatan Pertanian bagi kegunaan penduduk kawasan tersebut serta penerangan mengenai langkah-langkah mitigasi banjir yang perlu diambil.

Turut hadir dalam memberi dokongan untuk menyelesaikan masalah penduduk terlibat adalah beberapa agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Pertanian serta Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah.