Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar baru-baru ini tampil menghulurkan sumbangan kepada pelakon veteran dan salah satunya adalah Dharma Harun Al-Rashid.
Bantuan diserahkan kepada seniman terkenal era 1980-an itu menerusi Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi sebagai wakil yang turut menziarahi Dharma.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook milik Anwar, Farhan turut memberi bantuan kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad yang pernah menghidap kanser usus tahap tiga.
“Mereka yang pernah terkenal dalam pentas layar negara menerusi karya masing-masing kini diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.
“Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan mereka.
“Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, Insya-Allah,” kongsi Anwar di laman Facebook.
Untuk makluman, Dharma kini mengalami kesukaran dalam bertutur dan mengingati sesuatu akibat dari kesan sampingan selepas diserang angin ahmar pada 2019 lalu.
Dharma yang turut menghidap asma itu memberitahu, dirinya masih perlu mengambil ubat dan melakukan latihan untuk menguatkan ingatan seperti disarankan doktor.
Seniman berusia 68 tahun itu juga terpaksa menolak tawaran berlakon kerana tidak boleh berdiri lama selain pinggangnya juga tidak berapa kuat, lapor Berita Harian.
Difahamkan, pelakon yang popular menerusi filem Adik Manja itu menerima bantuan menerusi program Ziarah Madani di kediamannya yang terletak di Wangsa Maju.
Seniman yang kali terakhir berlakon lebih dari 10 tahun lalu itu menitiskan air mata sebaik sahaja menerima kunjungan dan juga sumbangan daripada Ahmad Farhan.
Dharma tinggal di kediaman tersebut bersama dua cahaya matanya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan juga Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman yang kini berusia 35 tahun.
Baca juga: “Berdosa sangat pada suami sebab di belakang dia, saya layan ustaz” – Saksi ke-9 kes Ebit Lew