Malaysia Dateline

Terima bantuan terus masakkan mi segera untuk anak, luluh hati Salahuddin

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendedahkan bagaimana keperitan dilalui rakyat di kawasannya sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden AMANAH itu memberitahu ada keluarga miskin terus memasak mi segera yang diterima daripada pihaknya.

Jelas bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu , kedengaran rengekan lapar daripada anak keluarga terbabit.

“Luluh hati saya bila mengetahui salah satu keluarga dalam Parlimen Pulai yang menerima pek bantuan kecemasan terus masakkan anak kecil yang kelaparan.

“Walaupun hanya mi segera… Katanya (anak kecil)… ‘Lapar bu’.

“Alhamdulillah, saya sudah hantar bantuan makanan asas kepada keluarga ini,” ujarnya dalam perkongsian di Facebook beliau.

Sehubungan itu, Salahuddin mendoakan keluarga tersebut dapat bertahan dalam menempuh pelbagai kemungkinan akibat penyebaran wabak Covid-19 ini.