Terima banyak komen negatif, Muaz anggap jarak usia 16 tahun dengan isteri bukan isu besar

Oleh MAISARAH AISYA

Faktor usia kadang-kadang bukanlah satu isu untuk pasangan yang magu berkahwin malah ramai memilih wanita yang lebih tua.

Begitulah juga dengan pelakon Muaz Fitri yang memilih menikasihi pasangan dengan jarak usia 16 tahun.

Buat Muaz, dia sudah lali dengan komen negatif daripada netizen dan menyerahkan soal zuriat kepada Allah SWT lapor Harian Metro.

Kuala Lumpur: Pelakon Muaz Fitri, 34, memilih ‘bahagia cara kita’ bersama isterinya, Qaseh Anita Abd Shukor, 50, dengan menyerahkan rezeki cahaya mata kepada ketentuan Allah, namun bersyukur impian mereka untuk hidup bersama menjadi kenyataan.

“Sepanjang kami bercinta dan bertunang dulu, banyak juga terima komen-komen negatif yang ditulis netizen apabila kisah kami disiarkan media, tapi saya okay saja sebab kita semua ada pilihan masing-masing, bahagia cara kita.

“Saya juga tak kisah apabila terbaca komen seperti eh tunang dia tualah, dia nak tumpang senang saja ni, tak nak anak ke bila kahwin nanti?, semua itu memang ada segelintir netizen yang tulis. Tapi, bagi saya, tidak mengapalah dan terima kasih semua.

“Pada saya, kalau kami ada rezeki dikurniakan anak nanti, Alhamdulillah. Kalau tak ada pun, saya reda dan terima dengan seikhlas hati.

“Tidak semestinya tiada anak, kami tidak boleh mengecap bahagia dalam rumah tangga yang dibina ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelas pelakon berusia 34 tahun itu, dia turut mengakui hubungan rapat dengan isteri Qaseh Anita Abd Shukor, 50 dan anak tunggalnya.

“Apapun, saya gembira hubungan dengan anak tunggal isteri, Hilman, 26, baik dan rapat, termasuk penerimaan keluarga mentua kepada saya juga sangat baik.

“Saya hanya mampu bersyukur dengan rezeki kasih sayang keluarga yang Allah berikan ini.

“Niat saya mengahwini Qaseh sebagai isteri ikhlas. Banyak yang sudah kami lalui selepas saling mengenali dan rapat sejak 2018 lalu.

“Saya mohon doakan yang baik-baik untuk rumah tangga kami dan semoga yang baik-baik juga berbalik untuk kalian semua,” katanya.

Baca juga: Ruhainies akhirnya buka mulut kenapa tak minta maaf kepada Bella lepas kantoi tangkap khalwat