Malaysia Dateline

Terima dengan redha, biar mati berdiri daripada hidup berlutut

Sebagai pejuang rakyat yang cintakan tanah air, perjuangan akan tetap diteruskan demi prinsip dan maruah, biar mati berdiri daripada hidup berlutut.

Luahan ini dizahirkan oleh bekas Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir selepas menerima surat penamatan khidmat walaupun kontrak perlantikan beliau masih panjang.

Jelas beliau, penamatan khidmatnya sebagai Pengerusi LKIM diterima dengan penuh keredhaan setelah tempoh khidmat selama 17 bulan.

“Memulihkan semula imej LKIM merupakan perkara fundamental sebagai pemangkin mengangkat LKIM menjadi agensi kerajaan yang terbaik. Justeru itu audit forensik sedang dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan dan kepincangan pengurusan aset-aset utama seperti Kompleks LKIM Kuala Kedah dan Perumahan Penempatan Semula Nelayan di Tg Dawai, Kedah bagi merangka polisi dan tatacara yang lebih baik dimasa hadapan.

“Ini juga merangkumi objektif utama LKIM dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi nelayan melalui agenda mencambahkan program baik pulih rumah nelayan, bina baharu rumah nelayan, bantuan bencana dan kebajikan nelayan serta bantuan ‘touch point’ yang telah dihentikan sejak tahun 2017 lagi.

“Selain itu Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan juga telah ditingkatkan kepada RM250 sebulan bagi manfaat seramai 40,000 nelayan dan penambahan kuota subsidi diesel kepada 70 juta liter sebulan adalah antara sumbangan besar kepada nelayan dalam mencapai objektif tersebut, ” ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, usaha lain yang turut diberi penekanan ialah meningkatkan mutu prasarana kompleks pendaratan ikan dan jeti nelayan terutamanya penambahbaikan Kompleks LKIM Tok Bali di Kelantan, Kg Acheh di Perak dan Kuala Kedah bagi meningkatkan jumlah pendaratan ikan tempatan.

Faiz juga berkata, objektif kedua LKIM bagi memajukan industri perikanan diberi tumpuan dengan memulihkan aset-aset tidak terpakai LKIM dalam meningkatkan kemampuan bidang akuakultur termasuk di Bukit Malut, Langkawi, Pantai Merdeka, Kedah, Badung, Pahang dan Pusat Densiti Tinggi di Pagoh, Johor. Manakala operator swasta yang berkemampuan perlu diberikan peluang untuk mengusahakan bidang akuakultur di tapak – tapak ini secara serius.

“Usaha kerajaan Pakatan Harapan(PH) untuk menangani isu kos sara hidup rakyat turut didokong bersama oleh LKIM termasuklah pengeluaran ikan segar beku iaitu QFish juga dipertingkatkan.

“Disamping itu, rantaian bekalan perlu diperkemaskan termasuklah pembinaan lebih banyak ‘cold room’, malahan peruntukan RM100 juta bagi infrastruktur penyimpanan dan pengagihan makanan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi LKIM yang telah diumumkan pada 27 Mac 2020 perlu dimanfaatkan untuk tujuan ini.

“LKIM perlu juga berwatak entiti korporat dan bagi menjayakan usaha ini, anak syarikat LKIM iaitu Melia Evolusi Sdn Bhd digerakkan secara aktif bagi meningkatkan keupayaan jualan QFish termasuk juga peluang-peluang perniagaan yang lain,” saran beliau.

Tambahnya lagi, usaha bagi meningkatkan pendapatan nelayan disamping menawarkan harga ikan berpatutan kepada rakyat turut diberikan tumpuan melalui pasar-pasar nelayan di seluruh negara yang berjumlah 139 buah.

Kata beliau, pasar nelayan telah terbukti berjaya mengurangkan rantaian bekalan apabila hasil tangkapan laut dijual secara terus oleh nelayan kepada pengguna sepertimana yang telah dibuktikan hasil jualan tahun 2019 sejumlah RM46. 1 juta yang ditunjukkan dalam Kad Laporan LKIM perlu diteruskan.

“Persatuan-persatuan nelayan perlu diperkukuhkan tatakelola dan kewangan serta dipelbagaikan model perniagaan termasuklah jualan ikan atas talian seperti Nikmatbiz supaya dapat membuka peluang pekerjaan kepada belia nelayan dan meningkatkan pendapatan nelayan selaras dengan halatuju MOA yang dibentangkan oleh Datuk Seri Salauddin Ayob sebelum ini.

“Usaha memantapkan fungsi LKIM perlu diteruskan dengan menerokai program, produk, model baharu dan dinamik termasuklah pembentukan Tabung Kumpulan Wang Amanah Nelayan(KWAN) bagi memberi fokus antaranya bantuan khas kepada nelayan uzur. Begitu juga dengan pengenalan caruman Perkeso bagi nelayan yang dilaksanakan kerajaan PH.

“Tiada istilah perpisahan buat saya kepada warga kerja LKIM kerana jiwa saya senantiasa hidup bersama nelayan dan biarlah ukhwah serta kasih sayang bersama larut dalam hidup kita kerana yang didambakan adalah manisnya dan bukan gula,” kata Faiz.