Malaysia Dateline

Terima dua dos vaksin baru dibenarkan rentas negeri

Hanya individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan dibenarkan untuk merentas negeri dan daerah, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin .

Beliau berkata, individu itu juga mungkin akan dibenarkan untuk ke luar negara.

Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya akan bincang dalam mesyuarat MKN, kita akan membincangkan bahawa siapa yang sudah mendapat dua suntikan vaksin mereka akan boleh rentas negeri dan ke mana-mana dengan tidak dihalang oleh pihak berkuasa.

“Ini suatu (yang boleh) menggalakkan orang ramai (divaksinasi). Bukan sahaja dalam negara, kita sudah memulakan rundingan dengan beberapa negara untuk membolehkan warga kita yang sudah disuntik dua kali dan akan ada satu sijil supaya mereka boleh bergerak,” katanya.

Setakat semalam, jumlah pemberian vaksin dos pertama ialah sebanyak 498,468 dan dos kedua sebanyak 241,758.

Pada masa ini, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKPB telah dilanjutkan dari 30 Mac hingga 12 April di Sarawak dan dari 1 hingga 14 April di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sembilan negeri lain dan Labuan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 1 hingga 14 April.