Terima duit RM3.5 juta: SPRM siasat bekas pemimpin Pas

Terima duit RM3.5 juta: SPRM siasat bekas pemimpin Pas
Bekas pemimpin Pas disiasat SPRM atas dakwaan terima duit RM3.5 juta dari Umno.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang bekas pemimpin Pas berikutan dakwaan Pas Terengganu menerima wang RM3.5 juta dari Umno.

Menurut laporan Malaysiakini, bekas pemimpin itu sebelum ini adalah pemimpin kanan Pas tetapi tidak lagi aktif dalam politik.

Media sebelum ini melaporkan, pemberian RM3.5 juta kepada Pas Terengganu itu adalah sebahagian daripada RM90 juta yang didakwa diterima Pas.

Pas pula menyifatkan dakwaan Pas Terengganu menerima wang RM3.5 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘lontaran biasa’.

April lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, berkata ia perkara biasa dibangkitkan pada waktu tertentu, termasuk ketika pilihan raya kecil (PRK) Rantau ketika ini.

“Itu satu perkara biasa. Benda (dakwaan) ini dilontar begitu saja. Dulu isu RM90 juta pun senyap, RM1.4 juta pun senyap, sekarang RM3.5 juta pula.

“Mereka cari mana yang ada, apatah lagi sementara PRK Rantau sedang berlangsung, nanti ada PRK lagi, ada lagi dakwaan sebegitu,” katanya.

Sebelum pilihan raya lalu, Pas Terengganu didakwa menerima RM1 juta wang dari Umno yang dimasukkan ke dalam akaun khas yang dimiliki oleh tiga pemimpin kanan Pas negeri.

Namun begitu, tiga pemimpin Pas Terengganu menyerahkan kes dakwaan mereka menerima duit dari Umno kepada peguam untuk dikaji namun tidak ada jaminan akan mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Satiful Bahri Mamat, Muhyiddin Abdul Rashid dan Shukrimun Shamsudin dalam satu sidang media mereka menafikan menerima duit dari Umno itu.

“Pas negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya menerima wang dari pihak Umno.

“Ia tuduhan fitnah dan palsu,” katanya.

Dakwaan Pas Terengganu menerima duit Umno itu dibuat oleh pemimpin AMANAH, yang kini timbalan menteri, Datuk Mahfuz Omar.