Terima e-mel meragukan, Ketua Polis Johor sahkan terima ancaman bom

Oleh MAISARAH AISYA

Timbul kekecohan kepada 600 kakitangan yang bertugas di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas menerima e-mel berkaitan ancaman bom semalam.

Hari ini Ketua Johor CP M Kumar mengesahkan beliau turut menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom pagi semalam.

Menurut Bernama, Kumar memaklumkan ancaman bom itu telah dihantar ke e-mel rasmi Ketua Polis Johor.

Beliau turut mempercayai bahawa ia dihantar individu sama yang menghantar e-mel ancaman bom kepada MBJB.

“Semakan mendapati e-mel tersebut menggunakan alamat sama yang pernah dihantar beberapa tahun lepas. Kami percaya orangnya adalah sama. Akaun yang digunakan adalah akaun palsu.

“Kami dalam usaha untuk mengenal pasti penghantar e-mel tersebut dan apa-apa perkembangan kami akan maklum kemudian,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ancaman bom yang dibuat ke atas beberapa premis kerajaan negeri semalam.

Pada masa sama, Kumar memaklumkan individu tersebut menyebarkan maklumat palsu bertujuan menimbulkan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan orang ramai.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat memaklumkan ada tiga premis kerajaan di kawasan Johor Bahru Selatan yang menerima ancaman tersebut.

Ini termasuk Menara MBJB yang disahkan menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom daripada individu sama, semalam.

Baca juga: Isu pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan, Zahid tegaskan tak perlu politikkan hal tersebut