Terima enam laporan, polis siasat Dong Zong

Terima enam laporan, polis siasat Dong Zong

Polis membuka kertas siasatan berhubung laporan yang diterima berkaitan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sehingga kini, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung pertubuhan yang dikenali sebagai menghalang usaha kerajaan untuk agenda perpaduan nasional itu.

Menurut Huzir, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan akan mengambil tindakan susulan sekiranya memerlukan.

“Kita ada semak laporan polis dan enam laporan diterima dan kertas siasatan sudah dibuka.

“Kita lihat hasil siasatan itu nanti dan semestinya kita akan panggil mereka (Dong Zong) untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk mengharamkan Dong Zong atau sebaliknya.

Terdahulu Tun Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana selalu membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan kaum lain di negara ini.

Pengerusi Bersatu itu berkata, semua pihak harus peka dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum lain walaupun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara.