Terima jutaan ringgit wang Umno: ‘Undi Pas = Undi BN’

Mohamad Sabu

Sikap BN yang menyebelahi Pas dan pada masa sama pimpinan parti diterajui Abdul Hadi Awang itu mengaku menerima ‘derma’ mencecah jutaan ringgit menjadikan kedua-dua parti tersebut tiada bezanya lagi.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, hubungan BN-Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini menunjukkan mereka berkawan ketika Bersatu dan PH ditekan.

“Pilihan raya yang berlangsung lagi dua minggu ini kita sudah kenal siapa kawan, siapa lawan. Kawan kita adalah Bersatu, KeADILan, DAP, AMANAH sudah tentu kawan serta NGO-NGO bersama kita.

“Lawan kita BN-Pas. Mengundi Pas sama dengan mengundi BN. Sebab mereka satu dalam dua, dua dalam satu,” tegasnya sempena Makan Malam Dana dan Amanat PRU-14 AMANAH di Kompleks Desa, Kepong malam tadi.

Menurutnya, pimpinan Pas sekarang sudah menggunakan alasan sama seperti Pengerusi BN berhubung penerimaan wang dalam jumlah yang amat besar menerusi akaun bank.

“Sekarang, ‘bahasa’ sudah bertukar. Najib mahaguru politik Malaysia. Itu (derma RM2.6 bilion) sedekah Pak Arab. Rupanya ayat itu juga yang diguna oleh Pas sekarang.

“Kami (Pimpinan Pas) ada orang sedekah RM2.5 juta.

“Siapa nak sedekah sebanyak itu?” bidasnya mengaitkan pengakuan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki pada 19 April lalu yang mengesahkan Pas menerima wang sebanyak itu pada tarikh 23 Mac 2018.

Pengerusi BN dan Presiden Pas sudah beberapa kali sepentas dalam program sama sejak akhir 2015.

Tiga tahun lalu, Pengerusi BN Najib Razak pada mulanya menganggap pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) tentang kemasukan hampir AS$700 (RM2.6 bilion) ke akaun peribadinya sebagai fitnah dan konspirasi pembangkang.

Namun, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Januari 2016 berkata, siasatannya mendapati jumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013.

Bahkan, Apandi memberitahu RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.

Mengulas lanjut, Mohamad menganggap Pas pada masa ini bukan lagi parti pembangkang sebenar yang menentang rejim BN pada PRU-14.

“Bila parti pemerintah sedekah kepada parti yang nak lawan dia, ertinya mereka berkawan.

“Bila dia tekan parti Bersatu bererti Bersatu sebenarnya pembangkang yang mahu lawan kerajaan Najib,” tegas mantan Timbalan Presiden Pas itu diikuti tepukan gemuruh hadirin di Dewan Perdana Zafran.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PH berkenaan menyifatkan pemilihan Bersatu sebagai kawan untuk menentang BN sebagai pilihan tepat.

“AMANAH memilih Bersatu adalah pilihan yang tepat untuk menghadapi BN. Kita memilih kawan yang tepat sebab kalau pembangkang yang nak lawan itu dibeli dengan duit, itu bukan lawan tapi nak berkawan.

“Sebab itu, bendera BN dan Pas naik serentak. Kami dulu naik pokok kelapa, tebang pokok buluh, pinang.

“Sekarang bendera Pas naik dengan (tiang) besi, naik poster besar dengan kren. Kami dulu kutip duit merata pakai plastik.

“Orang kata parti kopiah bergerak,” seloroh Mohamad lagi yang dikenali sebagai pimpinan yang mampu menyelitkan unsur humor meskipun pengisian ceramahnya adalah serius.

9.2
OVERALL SCORE
: 9.0
4 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS