Malaysia Dateline

‘Terima kasih AWAN dan AMANAH Johor’

‘Terima kasih AWAN dan AMANAH Johor kerana bantu kami,” begitulah luahan Ketua Penyelia Jururawat, Norlin Alwi, 49 di hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar Johor.

Penghargaan itu telah diberikan oleh beliau yang berbangga dengan tahap keprihatinan rakyat Malaysia membantu ‘frontliner’ seperti mereka.

Katanya, sumbangan Ngo, badan individu termasuk parti politik seperti AMANAH atau AWAN banyak membantu ‘frontliner’ dalam meringankan beban yang dihadapi mereka.

“Sumbangan daripada AMANAH, AWAN dan Ngo lain banyak memudahkan kerja kami sehari-harian. Sekiranya kami tidak dibantu sebegini pastinya kami akan mengalami situasi yang sukar dalam menghadapi keadaan ini.

“’Personal Protection Equipment (PPE)’ memang mengalami kekurangan dan kekangan mendapatkan stok PPE ini memang benar-benar berlaku.

“Saya juga berharap Ngo dan badan yang ingin menyumbang dialukan untuk memberikan juga ‘face mask’ kepada rakyat atau orang awam bagi mereka mampu menjaga kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Ketua AWAN Nasional, Norhayati Bachok berkata, sumbangan ‘face shield’ dan alat penyukat suhu badan yang diagihkan oleh mereka hanya untuk memotivasikan petugas barisan hadapan.

Dalam pada itu, AWAN Johor bersama parti AMANAH Johor telah menyumbang sebanyak 400 set ‘face shield’, 500 ‘face mask’ dan 3 set kelengkapan alat penyukat suhu badan kepada hospital berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

“Kita maklum dengan keadaan yang menjadikan semua pasukan dalam keadaan yang terlalu penat justeru itu inisiatif membantu ‘frontliner’ ini adalah suatu usaha kami yang berterusan.

“Ia sebagai pemangkin semangat untuk mereka serta meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka ketika berhadapan dengan situasi getir seperti ini. Usaha ini sedikit sebanyak dapat dijalankan semampu kami di mana keadaan kami terhad untuk mencari serta mengadakan bahan PPE ini.

“Selain itu, AWAN juga berharap agar pihak lain turut berusaha menyumbang kepada ‘frontliner’ serta mencari keperluan yang masih di hospital-hospital lain,” katanya.

Tambahnya lagi yang merupakan Adun Maharani berkata, AWAN akan sentiasa bersama-sama dengan pasukan ‘frontliner’ bagi membantu mereka semampu mungkin.