Malaysia Dateline

Terima kasih Hashim Jasin hidupkan kembali kerajaan dua darjat

Selepas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelamatkan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dari tuduhan kerajaan dua darjat melalui kenyataan Menteri Kewangan tentang projek runding terus, Mursyidul Am Pas telah menghidupkan kembali isu itu.

Ekoran kenyataan Datuk Hashim Jasin bahawa Khairuddin umpama burung Hud-Hud, kesah undang-undang dua darjat kerajaan PN kembali menjadi berita utama media hari ini.

“Terima kasih kepada Mursyidul Am Pas,” kata seorang penganalisis politik ketika mengulas ucapan Hashim yang membela Khairuddin tetapi kini telah menyebabkan isu kegagalan Menteri Komoditi dan Perusahaan Perladangan itu mematuhi SOP kerajaan PN sendiri kembali hidup semula.

Akibat kenyataan Hashim, isu itu hidup kembali di media dengan pelbagai komen diberikan oleh pelbagai pihak mengenainya.

Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar mempersoalkan adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini melaksanakan undang-undang yang berbeza antara menteri dengan rakyat biasa.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bertanya demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak bersalah berhubung isu perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Sebaliknya, dakwa Hashim, kelalaian terletak pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri.

“Saya minta KKM dan Kementerian Luar menjelaskan, adakah KKM khususnya melaksanakan undang-undang dua darjat?

“Padahal, dakwaan awal Khairuddin dia ke Turki bukan urusan rasmi,” kata Mahfus, ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah, Hashim tidak seharusnya menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai gagal memakaikan gelang tangan merah jambu kepada Khairuddin.

“Sebagai seorang menteri kabinet, Khairuddin seharusnya lebih tahu dan sedar darihal perintah memakai gelang tangan merah jambu dan menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara memandangkan ini adalah keputusan kabinet.

“Maklumat ini juga telah selalu diwar-warkan oleh kerajaan melalui media massa sama ada cetak mahupun elektronik.

“Islam mengajar kita tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat umum.

“Justeru, suka saya menyeru agar Hashim memberi fakta yang benar sebelum mengeluarkan kenyataan membela Khairuddin,” katanya.

Bagi Ketua Wanita AMANAH, (AWAN) itu, menyifatkan perbandingan burung Hud Hud itu sebagai “sangat semberono dan bersifat melampau” serta mengundang persepsi negatif kepada agama Islam.