Malaysia Dateline

Terima kasih Kerajaan PH teruskan projek DFTZ, kata Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak membatalkan projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dimulakan pentadbirannya.

“Saya berterima kasih kerana DFTZ yang diusahakan kerajaan BN sebelum ini – dari konsepsi sehingga pelancarannya yang pantas – bersama-sama Alibaba tidak dibatalkan oleh kerajaan HARAPAN,” kata beliau dalam kenyataannya di Facebook

Katanya, DFTZ berpotensi mewujudkan kira-kira 60,000 peluang pekerjaan dan memudahkan perdagangan barangan sehingga AS$65 bilion menjelang 2025.

“Inisiatif seperti DFTZ juga menjadi alat untuk menyediakan golongan muda bagi bidang pekerjaan yang belum pun wujud pada masa ini.

“Ekonomi digital adalah sektor yang paling pantas berkembang dalam ekonomi kita. Pada masa ini, ia merangkumi 18.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka bertumbuh dan menyumbang kepada 20 peratus KDNK negara menjelang 2020,” katanya.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Alibaba atas perasmian pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, yang merupakan pejabat pertama syarikat e-dagang itu di luar China dan di Asia Tenggara.

Bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan telah menyemak semula projek-projek mega oleh kerajaan terdahulu dalam usaha mengurangkan hutang negara.

Terdahulu, Hartawan teknologi, Jack Ma berkata beliau menubuhkan Alibaba selepas mendapat inspirasi daripada Koridor Raya Multimedia (MSC) ilham cetusan Perdana Menteru Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba berkata hari ini benih pertama idea untuk apa yang akhirnya menjadi gergasi e-perdagangan global mula disemainya ketika beliau membaca berita mengenai MSC hampir 20 tahun yang lalu.