Malaysia Dateline

Terima kasih Khairy iktiraf sijil vaksinasi Selangor

Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam Sidang Media pada 9 September 2021 yang bersetuju untuk membenarkan penggunaan sijil vaksinasi SELangkah bagi penerima vaksin di bawah Program Vaksinasi Selangor (SelVax).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud menyifatkan keputusan membenarkan penggunaan sijil vaksinasi SELangkah merupakan suatu bentuk pengiktirafan terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi melengkapi Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

“Oleh itu, rakyat Negeri Selangor yang masih belum menerima sijil vaksinasi digital MySejahtera kini boleh menggunakan sijil vaksinasi di dalam aplikasi SELangkah sebagai dokumen pengesahan bagi keperluan aktiviti harian,” kata beliau dalam kenyataan.

Terdahulu, Selangor mengesahkan sebanyak 3,632 aduan telah diterima daripada penerima vaksin lengkap dua dos yang masih belum memperoleh sijil vaksinasi digital MySejahtera, justeru kerajaan Selangor menggesa MKN melalui Khairy meluluskan permohonan agar sijil digital SElangkah digunakan buat sementara waktu.

Setakat 7 September 2021, SELangkah telah menghantar sejumlah 159,919 rekod penerima yang telah lengkap 2 dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.