Malaysia Dateline

Terima kasih Pakatan Harapan, tunai janji PRU 14

Tarikh 28 Julai 2020 merupakan satu tarikh yang sangat bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia.

Khususnya bagi mereka yang telah bersusah payah meredah lautan kenderaan di lebuh raya dan kemudian beratur panjang di tengah terik mentari pada 9 Mei 2018 yang lalu, demi untuk memastikan tanggungjawab untuk membawa perubahan pada Malaysia yang tenat dengan kleptokrasi.

Akhirnya setelah dua tahun berlalu, usaha itu nampaknya berhasil apabila bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC.

Walaupun PH tidak lagi menjadi kerajaan disebabkan oleh kerakusan kuasa oleh beberapa pihak yang langsung tidak bertanggungjawab, tetapi PH nampaknya berjaya menunaikan satu manifesto besar mereka hari ini.

Seperti apa yang ditulis dalam buku Manifesto HARAPAN, keutamaan memerangi rasuah dapat dilihat dengan pelbagai jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji setiap salahlaku dan salah guna kuasa, apalagi amalan rasuah di setiap kementerian dan agensi kerajaan, nampaknya berjaya ditunaikan pada hari ini.

Tidak dilupakan ucapan tahniah juga harus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah berjaya membuktikan bahawa tiada kuasa yang lebih besar di negara ini berbanding kuasa rakyat.

Jika bukan kerana perubahan kuasa yang pernah berlaku pada 2018, kebenaran ini tidak akan pernah dicapai dan rakyat akan terus ditipu oleh UMNO dan sekutunya.

Bukan itu sahaja, wang negara juga akan terus dirompak dan dinikmati bersama oleh golongan kleptokrat.

Ucapan tahniah dan terima kasih juga perlu diberikan kepada insan-insan yang telah banyak membongkar dan mendedahkan skandal ini sejak tahun 2011 lagi. Hasil usaha mereka sejak dari zaman Pakatan Rakyat dan diteruskan semasa zaman Pakatan Harapan akhirnya berbaloi.

Sejarah hari ini juga berjaya membuka mata rakyat khususnya golongan muda tentang betapa pentingnya kuasa para pengundi semasa Pilihan Raya Umum. Jika bukan kerana kuasa rakyat, maka sejarah hari ini tidak akan berlaku.

Hari ini juga membuktikan bahawa PH menang dalam PRU14 lalu bukan dengan fitnah terhadap BN. Tetapi, kerana ingin menegakkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia yang telah ditipu hidup-hidup.

Kalau sebelum ini, penyokong BN mungkin boleh kata PH menang kerana fitnah terhadap 1MDB, tapi kini terbukti penyelewengan wang yang berlaku itu bukanlah satu fitnah dan ia merupakan satu jenayah yang melibatkan pemimpin negara kita.

Terbukti, ini adalah pencapaian paling besar PH dan diharapkan kleptokrat-kleptokrat lain yang kes mereka masih berjalan di mahkamah juga akan diadili seadilnya.

Diharapkan dengan pencapaian PH pada hari ini akan menyemarakkan semula semangat reformasi dalam diri rakyat agar PH berjaya kembali ke Putrajaya dan terus menunaikan janji-janji lain dalam manifesto yang tergendala hanya disebabkan kerakusan kuasa oleh para pengkhianat mandat rakyat.