Malaysia Dateline

Terima kasih pasukan barisan hadapan

Di saat semua rakyat diarahkan untuk duduk di rumah dan jangan keluar rumah, mereka membanting tulang empat kerat untuk memastikan Malaysia bebas daripada pandemik virus Covid-19.

Hanya dengan sekelip mata, angka individu yang disahkan positif meningkat setiap hari. Tiada hari pun yang kita dengar berita menunjukkan penurunan angka pesakit yang disahkan positif.

Tetapi golongan yang tiada pilihan ini perlu terus bekerja untuk memastikan angka tersebut tidak terus naik dan naik lagi.

Adakah kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab telah membantu pasukan hadapan negara dalam membendung penularan wabak ini? Tepuk dada tanyalah jiwa.

Tanpa kita sedar, dalam seribu keburukan penularan virus Covid-19 ini sebenarnya telah membawa satu kebaikan kepada rakyat Malaysia. Apakah ia? Memupuk nilai disiplin dalam diri.

Perintah kawalan pergerakan yang memasuki hari ke-6 menunjukkan peningkatan yang baik dari segi komitmen daripada rakyat Malaysia. Sebelum ini, kita asyik berharap untuk diberikan cuti oleh majikan. Kini, apabila cuti telah diberikan, kenapa masih ada yang ingkar dan sibuk mahu keluar rumah?

Marilah kita sama-sama meletakkan diri kita di tempat mereka yang perlu bekerja keras tanpa memikirkan keluarga sendiri mahupun siang atau malam demi untuk memastikan penularan virus ini dapat dibendung.

Arahan untuk terus duduk di rumah dan jangan keluar rumah itu perlu difahami tujuannya agar semua rakyat bersatu hati bersama-sama dengan pasukan hadapan ini membantu menyekat penularan Covid-19.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada para doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan semua yang pihak berkorban secara langsung atau tidak langsung untuk memastikan Malaysia boleh bebas daripada virus Covid-19 secepat mungkin.

Jangan Politikkan Isu Ini

Dalam masa sama, isu penularan virus ini memerlukan kerjasama semua pihak dari semua latar belakang politik, agama dan kaum. Tindakan menuding jari kepada pihak lain dengan mendakwa mereka penyebab kepada penularan penyakit ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Penggunaan isu virus ini sebagai modal politik untuk menyerang kerajaan Pakatan Harapan kerana lambat menyekat kemasukan pelancong dari China adalah amat dikesali dan tidak bermoral.

World Health Organisation sendiri pernah memuji sebanyak dua kali Kementerian Kesihatan dibawah kerajaan Pakatan Harapan yang cemerlang dalam menguruskan penularan virus ini.

Manakala kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional juga pastinya berusaha keras dalam menguruskan penularan virus ini.

Adalah lebih baik sekiranya kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang ini bersama-sama mengembleng tenaga dan idea demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Tiada siapa pun yang mahu virus ini dari terus merebak di Malaysia. Jadi, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama bekerjasama dengan mengikut arahan yang telah dikeluarkan dan elak menyebarkan berita-berita palsu yang sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan serta menimbulkan panik dalam kalangan rakyat.

  • Camelia K adalah pemerhati isu-isu semasa tanah air.