Terima kasih rakyat Malaysia yang terus sabar menanti-Anwar

Oleh NASUHA RAHMAN

Lewat tengah malam tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus sabar menanti kemunculan Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Pada hantaran di Facebooknya Anwar memahami perasaan rakyat negara ini yang terus menunggu keputusan melantik Perdana Menteri yang baru kerana semua pihak mahukan yang terbaik untuk negara.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang terus sabar menanti.

“Saya tahu semua orang dan semua pihak cintakan negara ini dan mahukan yang terbaik,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan buat pasukan media yang setia menunggu untuk memberi liputan yang menyeluruh dan seimbang.

“Terus berdoa untuk Malaysia yang lebih baik!” tulis beliau.

Kira-ira 4.30 petang semalam Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dijemput menghadap YDPA begitu juga Pengerusi PN Tan Sri Mahiaddin Yassin namun masih belum ada jawapan pelantikan Perdana Menteri.

Ini kerana menurut Anwar Yang Dipertuan Agong menitahkan agar kerajaan perpaduan yang melibatkan semua pihak termasuk kaum, agama dan juga wilayah Sabah dan Sarawak dibentuk sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun Mahiaddin enggan menyatakan persetujuan bagi membentuk ‘kerajaan perpaduan’ sebagaimana yang dicadangkan YDPA.

Ekoran itu, Istana Negara akan memanggil 30 Ahli Parlimen dari BN untuk menghadap Tuanku pada 10.30 pagi ini.

Baca juga: Isu Kristian- Lebih 23,000 tandatangan petisyen desak GPS tolak PN yang ‘taksub kaum’