Terima kasih Sapigni, Amanah Selangor tetap rayu tolak BN demi rakyat

Terima kasih Sapigni, Amanah Selangor tetap rayu tolak BN demi rakyat

Amanah Selangor menghargai sumbangan beberapa individu yang terbabit sebagai penaja Parti Amanah Negara (Amanah) Sungai Besar.

Pengarah Komunikasinya, Jamzuri berkata, peranan mereka sebelum ini tidak dilupakan walaupun kumpulan terbabit kemudiannya menolak calon Amanah, Ustaz Azhar Ab Shukur.

“Kami mengesahkan bahawa Yahya Arbi dan Mohd Sapigni adalah antara orang yang terlibat menubuhkan kawasan penaja Amanah Sungai Besar di peringkat awal.

“Atas sumbangan mereka sebelum ini, Amanah Selangor mengucapkan terima kasih, semoga ia terus menjadi amal baik yang berterusan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.

Amanah ucap terima kasih pada SapigniMengulas lanjut tindakan kumpulan berkenaan menolak calon Amanah, Jamzuri berkata, beberapa individu yang tidak terpilih dalam Mesyuarat Penubuhan Amanah Sungai Besar mengumumkan untuk menyertai PKR.

“Dalam Mesyuarat Penubuhan Amanah Sungai Besar yang lepas, kepimpinan baru telah dipilih yang diterajui oleh Ustaz Azhar Ab Shukor sebagai Ketua Amanah Sungai Besar yang baru.

“Beberapa individu yang tidak terpilih kemudiannya memaklumkan mereka telah keluar dari Amanah dan menyertai PKR. Tidak pasti sama ada mereka telah menyerahkan borang permohonan ahli kepada PKR atau tidak.

“Semalam mereka menyatakan sokongan kepada calon BN, tetapi kekal sebagai ahli Amanah. Kita masih tidak jelas apa pendirian sebenar mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mendoakan kebaikan untuk mereka tetapi pada masa sama berharap menghentikan sokongan kepada calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

“Hal ini kerana setiap undi untuk BN membawa kesengsaraan kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Jamzuri mengajak seluruh pengundi di Parlimen Sungai Besar kembali fokus untuk mengundi calon Amanah demi kesejahteraan semua.

Semalam, Mohd Sapigini serta 31 ahli penaja Amanah dilaporkan sebulat suara menolak calon mereka, Ustaz Azhar kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan pimpinan tertinggi parti itu.

Sapigni turut menyeru pengundi di Sungai Besar supaya memilih Budiman sebagai pengganti Ustaz Azhar mahupun calon Pas, Dr Abdul Rani Othman.

COMMENTS

Wordpress (0)