Terima kasih Tanjung Piai, kata Wee Jeck Seng

Terima kasih Tanjung Piai, kata Wee Jeck Seng

Ahli Parlimen baharu yang mewakili kawasan Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan penduduk Tanjung Piai yang mengundi beliau.

“Ribuan terima kasih kepada semua jentera dari parti BN yang bertungkus-lumus dan saya terhutang budi kepada Umno bahagian Tanjung Piai kerana telah membantu saya dan beri dorongan kepada saya.

“Jadi hari ini bukan saya Wee Jeck Seng yang kuat, tapi parti BN yang kuat.

“Bagi saya yang baru dipilih sebagai Ahli Parlimen, saya akan beri komitmen walaupun sebagai pembangkang, saya masih akan mengambil kira bagaimana untuk melaksanakan pelbagai program untuk membantu kawasan saya,” katanya dalam sidang media di Pusat Penjumlahan Undi dekat Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berkata, beliau terhutang budi kepada pengundi yang memberi sokongan penuh terhadapnya.

“Maka dengan itu, ia beri semangat yang baru kepada saya dan saya akan buat rumusan baru untuk balas budi kepada pengundi saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, kesatuan antara jentera dan pemimpin BN akhirnya membawa hasil kepada majoriti 15,086 undi.

“Dengan adanya kerjasama semua parti yang ada, kita yakin momentum ini kita dapat kekalkan dan semangat musyawarah dan semangat kesetiakawanan dapat dikekalkan

“Saya menganggap ini sebagai satu mesej yang jelas agar mengotakan janji. Selepas ini, kita akan ada suara yang lebih lantang bersama rakan pembangkang yang lain,” ujarnya.