Malaysia Dateline

Terima keputusan dengan cekal, kerja untuk PRU-15, kata Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pemimpin dan penyokongnya menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” kata beliau dalam kenyataannya lewat malam tadi.

Menurut Anwar, beliau mewakili pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya.

Bagi pihak Pembangkang, katanya, ini adalah cabaran untuk mereka bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat,” katanya.