Malaysia Dateline

Dr Zulqarnain Luqman

Terimalah kritikan untuk bina Malaysia lebih kuat

Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (KANUN) menyeru semua pihak untuk mendaulatkan peruntukan mengenai kebebasan untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat seperti yang terkandung dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan kerana hak untuk mengkritik juga termasuk di bawah peruntukan hak asasi manusia.

Pengerusi Kanun Dr Zulqarnain Lukman berkata, sebarang kritikan yang membina walaupun perit dan pedas seharusnya diterima dengan positif kerana itulah asbab yang akan membina Malaysia untuk menjadi lebih kuat untuk berhadapan dengan dunia di era globalisasi ini.

Beliau berpandangan bahawa hukuman yang berat terhadap portal Malaysiakini hanya akan memberikan pandangan negatif masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sekaligus akan mewujudkan perasaan was-was pelabur terhadap institusi penting negara khasnya institusi pentadbiran keadilan seperti Peguam Negara dan mahkamah sendiri.

KANUN menyatakan bahawa kerajaan perlu menggubal akta khusus berkaitan tindakan penghinaan mahkamah (Contempt of Court Act) supaya masyarakat dapat mengetahui definisi, batas-batas, sekatan dan elemen undang-undang yang akan digunakan untuk sesuatu pertuduhan penghinaan terhadap mahkamah.

“Pihak Majlis Peguam sendiri pernah menimbulkan isu ini pada tahun 1999 dan telah mendrafkan cadangan Akta Penghinaan Mahkamah, 1999 (Contempt of Courts Act, 1999),” katanya.

Justeru, KANUN merayu supaya YDPA segera memanggil Parlimen untuk bersidang bagi membincangkan isu ini termasuk bagi pembentangan RUU Penghinaan Mahkamah, 2021.

“Tindakan menghina mahkamah perlu melihat sama ada sesuatu perbuatan itu sengaja dilakukan oleh pihak yang dituduh itu dan bukan hanya semata-mata kerana tindakan itu berlaku di dalam komen sesuatu berita yang di bawah kawalan Malaysiakini.

“Pada zaman teknologi dan media sosial yang berkembang pesat ini maka semestinya undang-undang juga turut berkembang dan tidak ditafsirkan mengikut pentafsiran undang-undang lazim (common law) yang lampau.

“Undang-undang sedia ada kini seperti yang terkandung dalam Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Klausa 9 dan 26 Jadual Ketiga, Akta Mahkamah Rendah, 1948 adalah hanya sekadar menyatakan kuasa mahkamah untuk menghukum tanpa ada satu definisi yang jelas mengenai skop menghina mahkamah itu sendiri,” katanya.

KANUN mengakui bahawa tindakan menghina Mahkamah adalah satu tindakan yang penting bagi menjamin wibawa mahkamah supaya masyarakat atau mana-mana pihak tidak membuat apa-apa tindakan yang boleh menjatuhkan reputasi mahkamah.
“Namun, pada masa yang sama tindakan itu sewajarnya perlu melihat kepada fakta sesuatu kes,” kata beliau.

Terdahulu, portal berita Malaysiakini yang telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM500 ribu oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kesalahan menghina mahkamah.

Kesalahan tersebut dijatuhi atas alasan bahawa terdapat komen daripada pembaca yang menulis kata-kata menghina terhadap mahkamah di ruangan komen pembaca. Tindakan itu telah diusulkan oleh pihak Peguam Negara terhadap Malaysiakini.