Malaysia Dateline

Terimalah tawaran PM, beri masa kepada kerajaan hari ini, kata Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tawaran Perdana Menteri kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan bersama terhadap kerajaan terkini supaya memberikan masa untuk menyelesaikan masalah sepatutnya diterima secara positif.

“Setelah kita mengalami kemelut kerajaan dahulu yang bermasalah, sepatutnya kita memberikan masa kepada kerajaan hari ini agar dapat menyelesaikan masalah bersama.

“Selepas keadaan mengizinkan, maka barulah kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa,” katanya menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu berkata, sebaliknya sikap tidak sabar bakal mengundang banyak masalah pada masa akan datang.

“Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul.

“Cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah, sehingga mereka dibejati dengan penyakit rasuah.

“Kemudian, rakyat membuat perubahan kepada sebuah kerajaan yang menawarkan pelbagai janji, sehingga berani merombak asas Perlembagaan dan kedaulatan Islam, dan akhirnya telah dijatuhkan,” katanya.

LANJUT MENYUSUL