Lain daripada yang lain. Itu perkataan yang boleh digambarkan terhadap tindakan luar biasa seorang imam yang membuat siaran langsung di sosial media demi mencari dana berjumlah RM2.4 juta.
Dana itu dilaporkan bagi membina sebuah hotel di Masjid Al-Busyra, Merbok, Kelantan. Masjid
Pembangunan naik taraf di Masjid Al-Busyra pernah menjadi tular di seluruh negara kerana sebelum ini masjid usang yang berada di kawasan luar bandar itu telah ditransformasikan menjadi sebuah masjid mesra musafir berkonsepkan hentian rehat dan rawat (R&R).
Mohd Firdaus Mat Akhir, 36, menggunakan platform media sosial untuk bersiaran langsung bagi meraih sumbangan pengguna Facebook dan TikTok sekali gus membolehkan semua golongan berinfak dengan hanya serendah RM2.40 setiap seorang.
Jelasnya, inisiatif itu dilihat sesuatu yang tidak mustahil untuk dilaksanakan setelah mendapat inspirasi daripada seorang usahawan tempatan yang berjaya meraih RM1.2 juta jualan dalam masa tiga minit.
“Produk terbaharu usahawan dan juga pempengaruh media sosial, Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi terjual 80,000 unit hanya dalam tiga minit, saya melihat ‘live’ itu dan berniat, masjid pun akan guna platform sama untuk lancar kutipan agar semua orang berpeluang kumpul pahala,” katanya.
Siaran langsung kutipan dana turut disaksikan ahli jawatankuasa masjid serta jemaah yang hadir.
Lebih mengejutkan, sebaik sahaja siaran ditamatkan dalam masa kira-kira sejam bersiaran, Mohd Firdaus berjaya mengutip RM245,452 termasuk lebih RM100,000 kutipan terkumpul lebih awal sebelum ‘live’ bermula.
Jelasnya, setelah beberapa hari pelancaran dibuat, kutipan terkini yang berjaya diperoleh mencecah RM385,000.
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada semua penyumbang yang memberikan sokongan terhadap pembangunan hotel di masjid berkenaan.
“Ini kali pertama kita lancarkan kutipan dalam ‘live’, dapat banyak ini pun saya bersyukur sangat. Moga ALLAH berkati usaha kita dan limpahkan rezeki kepada semua yang menyokong, namun usaha kita untuk cukupkan dana RM2.4 juta akan tetap diteruskan setiap hari,” katanya.