Seorang peniaga kedai runcit di Batu Kurau, Larut diserbu pihak berkuasa selepas didakwa enggan menjual minyak masak paket 1 kilogram (kg) kepada orang awam dan hanya menjualnya kepada orang tertentu.
Kegiatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, melakukan uji beli di kedai itu berdasarkan aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan penjual.
Hasilnya, menurut Pengarah KPDN Perak, pihaknya berjaya menemui sebanyak 140kg minyak masak paket 1kg yang disimpan di stor simpanan barang.
“Berdasarkan maklumat tersebut, satu tindakan uji beli dilaksana dan mendapati pekerja premis memaklumkan minyak masak peket telah habis dijual.
“Curiga dengan jawapan itu, pegawai serta penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Taiping melakukan pemeriksaan lanjut dan menemui sebanyak 140kg minyak masak peket 1kg yang disimpan di stor simpanan barang.
“Sehubungan itu, kesemua 140kg minyak masak peket 1kg tersebut berserta beberapa dokumen berkaitan disita.
“Ini kerana disyaki secara palsu menafikan bahawa dia mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg dalam milikannya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah, semua barang rampasan itu dianggarkan berjumlah RM350.
Justeru katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Baca juga: Pelukis tempatan ‘touch-up’ tugu kucing di Bulatan Padungan, tak tahan direnung mata garang