Terjumpa cicak dalam botol kicap terkenal, wanita nasihat tapis dulu sebelum guna

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengguna media sosial tempatan hari ini dikejutkan dengan satu perkongsian ‘ngeri’ daripada seorang wanita mengenai produk kicap yang dikatakan terkenal.

Sangat menjijikkan, wanita berkenaan memuat naik sekeping gambar di platform X memaparkan beberapa ekor binatang dipercayai cicak yang ‘bermandikan’ kicap.

Wanita berkenaan mendakwa bahawa binatang tersebut sebenarnya dijumpai oleh adik perempuannya sendiri di dalam sebuah botol produk daripada jenama terkenal.

Tanpa mendedahkan jenama kicap milik adiknya itu, wanita tersebut hanya memberi pembayang atau clue bahawa produk tersebut berasal dari negara seberang.

“(Binatang) ini dijumpai oleh adik perempuan saya di dalam botol kicap dia. Kicap ini terkenal daripada seberang sana,” ciap wanita tersebut menerusi akaun X miliknya.

Tidak mahu kejadian dialaminya adiknya berulang kepada orang lain, wanita itu tampil mencadangkan satu langkah berjaga-jaga khusus untuk peminat produk berkenaan.

Menurutnya, orang ramai terutamanya mereka yang meminatinya boleh menapis dahulu isi botol kemudian memasukkannya ke dalam bekas lain sebelum digunakan.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna media sosial malah bertindak memarahi wanita yang tampil membuat perkongsian mengejutkan terbabit.

Hal ini kerana, pelayar X berkenaan enggan mendedahkan jenama sebenar produk tersebut walaupun berulang kali ditanya oleh para pengguna yang sudah keresahan.

“Lain kali tunjuklah kicap jenama apa. Mana nak tahu dari ‘seberang sana’ sahaja. Sekurangnya boleh haramkan terus pakai kicap itu. Letih tahu tak main clue ini,” kata seorang pengguna.

“Tolong senaraikan dekat sini jenama kicap apa dari seberang sana? Malas nak maki hari Jumaat.” Soal pengguna lain yang kemudian diberi senarai produk kicap dari Indonesia oleh orang awam.

Berdasarkan tinjauan, ramai individu meneka bahawa produk ‘seberang’ itu berasal daripada Indonesia memandangkan kes yang sama pernah berlaku kepada mereka.

Baca juga: “Setengah jam pusing kedai” – Che Ta sanggup naikkan elaun mekap Aaishah kepada RM250 seminggu