Siapa sahaja tidak gelap mata apabila melihat wang tunai cecah ribuan ringgit dalam beg yang ditinggalkan di kawasan terbuka.
Namun nasib seorang lelaki dari Connecticut, Amerika Syarikat tidak berapa baik apabila dia ditahan pihak polis kerana menyimpan beg yang ditemuinya.
Menurut NBC News, Robert Withington menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai hampir AS$5,000 (RM23,237) di tempat letak kereta.
Tiga bulan selepas kejadian tersebut, lelaki malang itu didakwa kerana mencuri wang tersebut.
Polis memaklumkan beg yang di ambil itu ditanda dengan jelas dengan lambang bank.
Lebih mengejutkan beg tersebut sebenarnya ditemui di luar bank sama dan mengandungi wang tunai daripada jabatan cukai bandar Trumbull.
Terdapat juga dokumen di dalamnya yang mengesahkan pemilik sah wang tersebut ialah bandar Trumbull, demikian menurut kenyataan polis.
Lelaki berusia 56 tahun itu bagaimanapun mendakwa dia tidak mencuri wang itu dan tidak menyedari terdapat dokumen di dalam beg tersebut.
Wang tersebut dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu selepas pekerja pejabat Pemungut Cukai Trumbull tidak dapat mencari beg selepas tiba di bank untuk membuat deposit pada waktu perniagaan biasa.
Withington didakwa Jumaat lalu atas kesalahan merompak dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga AS$5,000 (RM23,237).
Baca juga: 19 tahun kahwin baru tahu isteri kaum sejenis, lelaki ‘mental’ bila tahu rahsia sebenar