Terkandas dalam banjir, 431 pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan SPM

Oleh WAN SITI AMINAH

Seramai 431 calon tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akibat terkandas dalam banjir yang melanda di Johor, Pahang dan Sarawak.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri tersebut terjejas susulan hujan lebat yang berterusan.

Malangnya, daripada 17 pusat itu, tujuh daripadanya tidak dapat dibuka semula akibat terputus hubungan dan jalan raya juga tidak dapat dilalui.

Namun, KPM telah bersiap sedia dengan prosedur operasi standard dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar.

“KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat (terkandas).

“Penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,” kata KPM dalam satu kenyataan.

KPM turut mengingatkan agar calon memaklumkan pihak sekolah atau Jabatan Pendikan Negara (JPN) sekiranya terkandas atau tidak dapat hadir di pusat peperiksaan.

Pelajar boleh menghubungi talian bilik gerakan di ibu pejabat LP atau JPN di seluruh negara agar penjadualan semula dapat dilaksanakan.

Proses penjadualan semula SPM 2022 ini akan dijalankan setelah mendapat pengesahan dari pihak Pengarah Pendididikan Negeri.

Baca juga: Forex untuk berdagang bukan berjudi, lelaki kesal lihat ramai nak pinjam duit untuk ‘trading’