Terkejut bila tahu rakyat Indonesia dilarang tonton Upin Ipin, rupanya ini puncanya

Oleh WAN SITI AMINAH

Rakyat Indonesia khususnya generasi muda disarankan untuk berhenti dari terus menonton siri animasi popular keluaran Malaysia, Upin dan Ipin.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Gabenor Bali, Wayan Koster ketika menyerahkan hadiah pertandingan esei Filem Jayaprana Layonsari, lapor Jawa Pos.

Saat memberikan ucapan, Koster turut menyifatkan bahawa animasi Upin dan Upin terbitan Les’ Copaque itu sebagai satu jenis tontonan yang ‘tidak jelas’.

Menurut Koster, rakyat seharusnya lebih fokus menghasilkan karya yang mengangkat budaya tempatan berbanding menonton produk animasi luar negara.

Hal ini kerana, negara Indonesia terutamanya di kawasan Bali mempunyai banyak kekayaan budaya yang mempunyai nilai kebolehpasaran.

“Apa itu dari Malaysia, Upin Ipin, ya? Jangan tonton lagi. Itu tidak jelas. Apa itu. Lebih baik kita membina produksi berdasarkan tradisi dan budaya kita. 

“Tanah Bali memang memiliki kekayaan itu. Penting buat kita untuk mengambil bahagian dalam membangun dan memajukan kebudayaan Bali,” katanya.

Koster turut memberi peringatan agar rakyatnya tidak membiarkan perkembangan teknologi dan budaya asing merosakkan sosiobudaya masyarakat Bali.

Sebagai alternatif kepada animasi Upin dan Upin, anak muda dicadangkan untuk menonton filem tempatan yang berkisarkan cerita rakyat Bali, Jayaprana Layonsari.

Sarat dengan mesej moral, filem tersebut mampu memberi inspirasi kepada penonton untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

Antara pengajaran yang disampaikan oleh cerita rakyat tersebut ialah perbuatan baik akan dibalas dengan karma yang baik.

“Saya minta semua adik-adik menonton filem Jayaprana, supaya mereka dapat memberi inspirasi untuk menjalani kehidupan yang baik.” Ulasnya.

Baca juga: Beli motosikal harga lebih RM5k, warga emas selamba bawa duit dalam guni sahaja, siap kira atas tanah lagi