Terkejut dapat tawaran RM15k untuk teman VIP, Puteri Sarah tak sangka rakan artis rupanya kena ‘hack’

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah semakin banyak akaun atau nombor artis digodam hingga orang lain pula menjadi mangsa, dari pinjam duit hinggalah kepada aktiviti tidak bermoral.

Terbaru pelakon Puteri Sarah Liyana tidak menyangka ada individu sanggup menyamar sebagai Nadia Brian.

Individu tersebut menawarkannya menjadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000.

Menurut Kosmo! Online, Sarah memaklumkan kejadian yang berlaku minggu lepas bermula dengan perbualan mesej mengajaknya untuk teman seorang lelaki berstatus Datuk dari Johor Bahru.

“Ada satu hari itu saya dapat mesej daripada seorang individu yang mengaku dirinya Nadia dan mula bertanya sama ada saya sibuk atau tidak. Pada mulanya saya okey sahaja sebelum dia mula bertanya tentang jadual kerja saya.

“Kemudian mula rasa pelik sebab dia minta saya bertemu dengan seorang lelaki berstatus Datuk dari Johor Baharu. Saya pula ‘blur’ orangnya sebab sangka hendak bertemu dengan produser.

“Semakin pelik apabila individu itu pesan ‘no video no photo’ dan cakap saya hanya perlu menemani datuk tersebut minum kopi serta akan dibayar dengan jumlah RM15,000,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Berpegang teguh dengan pendirian, Sarah menolak untuk melakukan perkara tersebut, namun individu tersebut meminta pula nombor artis lain.

“Saya cakap pada individu itu, saya tak buat kerja-kerja begitu. Tak akan pernah nak teman minum dan sebagainya.

“Kemudian, Nadia itu pun cakap tak mengapa sebelum dia minta pula nombor telefon artis lain. Selepas rasa semua ini tidak kena, saya terus hubungi Nadia Brian yang sebenar.

“Nadia beritahu dia sedang bersiap untuk penggambaran tetapi penyamar itu maklumkan sudah berada di set penggambaran,” tambahnya.

Kebetulan, Sarah menjalankan penggambaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, maka dia dengan pantas membuat laporan polis.

Baca juga: Muat naik hantaran berunsur fitnah, Chef Wan diarah bayar RM150k kepada bekas menantu