Terkejut dengar khabar angin konon kahwin lagi, Aishah dedah status diri

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah dua tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi Datuk Aishah Ariffin terkejut mendengar khabar angin konon dia sudah berkahwin semula.

Ini berikutan timbul spekulasi selepas satu gambarnya menggayakan persalinan serba putih dengan solekan persis pengantin.

Menurut Berita Harian, Aishah memaklumkan itu adalah sebahagian projek yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Saya hargai keprihatinan anda, tetapi untuk pengetahuan, saya belum berkahwin.

“Foto ini dirakam ketika saya menjalani penggambaran untuk satu projek yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Secara kebetulan, seorang teman ada bersama dan merakamkan gambar saya dari segenap sudut termasuk jari berhias cincin dan dikongsikan dalam media sosial.

“Disebabkan itu, ramai menyangka saya kembali berumah tangga. Semua ini hanya salah faham sahaja,” katanya seperti dipetik BH Online.

Tambahnya dia turut menerima kecaman atas gambar yang tular, malah ada yang mengungkit perkara lama.

“Ramai ucap tahniah dan gembira melihat saya bahagia, namun ada juga seolah-olah tak puas hati dan mudah menjatuhkan hukum.

“Saya dicop artis kahwin dan cerai. Soal jodoh, semuanya ketentuan Tuhan dan tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai.

“Buat masa ini, saya tiada masa nak fikir dan mencari calon suami. Jujurnya, saya sudah malas,” ujarnya.

Pada masa sama Aishah memaklumkan dia bahagia dengan kehidupan sekarang, malah berkongsi masanya terisi dengan kerjaya, fokus diberikan buat anak dan kucingnya.

Dalam pada itu Aishah turut memaklumkan bahawa dia tidak akan berahsia seandainya bertemu jodoh di masa hadapan.

Baca juga: Peniaga Vietnam ini rela kerugian, ‘banned’ pelancong Israel – “Kami hanya terima manusia, anjing dan kucing”