Terkejut dituduh hutang ‘ah long’, Faye Kusairi perjelas isu kereta rosak, cermin pecah

Oleh MAISARAH AISYA

Hanya memuat naik gambar kereta yang rosak dan dibahagian cermin pula pecah, pelakon Faye Kusairi mengakui terkejut dengan segala komen ditinggalkan netizen.

Mungkin kerana kapsyen pendek membuatkan ramai mula mengeluarkan pelbagai spekulasi kononnya Faye berhutang dengan ‘ah long’.

Tampil menjelaskan isu, dalam hantaran terbaru di Instagram Faye memaklumkan dia memuat naik gambar untuk meluahkan rasa kecewanya sahaja.

“Banyak jugalah komen berbaur fitnah dekat hantaran sebelum ni. Ada yang siap salahkan aku sebab kapsyen aku sekerat.

“Sedangkan kapsyen aku tu sejenis umum nak meluahkan rasa kecewa je sebab benda betul-betul baru jadi,” kongsinya di Instagram.

Faye kemudian memaklumkan ada isu di kawasan perumahannya serta ia berlaku akibat runtuhan bumbung balkoni di tingkat tiga kondominium jirannya.

“Lebih kurang pukul 4 petang tadi (Rabu), salah satu bumbung balkoni dari tingkat 3 bangunan kondo kami ni roboh, besar kemungkinan kayu bumbung tu reput atau sudah lama.

“Jadi semua konkrit dan kayu berat jatuh pada kereta saya dan jiran lain juga. Aku ni sedih jugalah nak dekat Raya kena guna duit banyak.

“Nak berlakon pun lambat lagi nak masuk set penggambaran, niaga pun sendu je bulan Ramadan ni.

“Kereta tu nak guna untuk cari rezeki, hantar anak sekolah, balik kampung dan nak berjalan semua, sedih tapi aku reda,” luahnya.

Hantaran tersebut juga menyangkal dakwaan dia berhutang ‘ah long’ malah berterima kasih pada mereka yang mendoakannya.

“Yang mana kata hutang ‘ah long’ ke orang khianat atau seberang komen negatif tu sudah-sudahlah, Aku ni buat hal aku sendiri je.

“Jadi doakan yang baik-baik dan terima kasih kepada yang mendoakan. Kami akan baik-baik saja,” jelasnya.

Baca juga: Lelaki buktikan mampu bersara pada usia 45 tahun dengan wang persaraan cecah RM4 juta