Terkejut filem Sheriff tak laku di Indonesia, ini jawapan paling logik dari Afdlin Shauki

Oleh KIM SYAZIE

Filem Sheriff: Narko Integriti yang meraih kutipan pecah panggung melebihi RM60 juta ketika ini, nampaknya tidak mampu menambat hati rakyat seberang.

Filem tersebut dilaporkan gagal mendapat sambutan sejak mula ditayangkan di 100 pawagam di Indonesia.

Perkara mengejutkan itu ternyata mendapat perhatian pengarah Afdlin Shauki yang berpandangan bahawa filem arahan Syafiq Yusof itu bukan karya yang gagal.

Tetapi sebaliknya dia berkata, semangat patriotisme di Indonesia sangat tinggi sehingga mereka merasakan tiada keperluan menyokong filem luar negara kerana filem mereka sendiri sudah cukup bagus.

“Memang betul semangat patriotik mereka tinggi, kenapa perlu sokong filem asing kalau filem mereka sudah bagus,” kata Afdlin seperti dilapor mStar.

Jika mahukan filem Malaysia berjaya di sana, Afdlin mencadangkan agar produser di Malaysia mengambil pekerja dari kalangan orang Indonesia.

“Mereka akan sokong filem yang dibuat oleh rakyat mereka. Untuk berjaya di Indonesia carilah penulis skrip orang sana, sebab mereka akan sokong,” ujarnya.

Afdlin Shauki juga berpendapat amatlah perlu kajian mendalam dibuat sebelum memasarkan filem ke Indonesia.

Banyak perkara yang harus dipertimbangkan termasuk faktor bahasa.

“Mereka tidak faham Bahasa Malaysia dan kita pun macam tangkap tangkap sahaja apa yang mereka cakap,” kata Afdlin.

Lantas, Afdlin menasihati produser filem Malaysia untuk fokus berjaya di Malaysia sahaja.

“Jangan jadikan Indonesia sebagai sasaran untuk berjaya, tetapi buat terbaik di negara kita dahulu,” nasihatnya.

Baca juga: Rupanya buat kulit karipap guna roti lagi senang! Cantik dan tak pecah dalam kuali