Malaysia Dateline

Terkejut punya pasal, pasangan kekasih larikan diri daripada peronda MPV

Akibat terkejut kerana dihampiri polis untuk pemeriksaan, pasangan kekasih bertindak memecut kenderaan yang dipandu sejauh 130 kilometer sebelum berjaya ditahan.

Niat hanya mahu mengelak polis, namun tak disangka dikejar sebegitu ramai anggota seperti ada kesalahan jenayah berat.

Tular video berdurasi 86 saat yang dimuat naik di Jabatan Netizen Malaysia (@jnmalaysia), menunjukkan percubaan kereta polis peronda untuk menahan kenderaan pasangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada jam 11.30 malam anggota Balai Polis Bandar Datuk Onn bersama rakan setugas membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.

Polis kemudian dikatakan mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan dan semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri.

“Anggota kemudian meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS. Enam kereta peronda MPV dari IPD JBS dan empat kereta peronda MPV dari Johor Bahru Utara (JBU) yang sedang bertugas turut membantu menahan suspek.

“Suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Pemandu ialah lelaki tempatan berusia 20 tahun manakala pasangan adalah wanita berusia 18 tahun.

Hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah dan polis turut merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Januari depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu).

Baca juga: Trailer filem Pulau akan ditarik balik, Fahmi anggap banyak aksi tidak sesuai ditayang