Terkejut tahu kedai dah tutup, Awal Ashaari mahu ambil tindakan terhadap rakan perniagaan

Oleh MAISARAH AISYA

Bidang perniagaan bukanlah satu perkara yang senang, malah satu kesilapan boleh menyebabkan kerugian besar.

Baru pertama kali menceburi bidang perniagaan, pengacara Awal Ashaari terkejut apabila rakan perniagaan dikatakan tidak jujur.

Menurut Harian Metro, Awal dan rakan perniagaan mengusahakan kedai kopi bersama sejak Disember lalu.

Disebabkan itu, dia menuntut hak yang sepatutnya diterima sepanjang hampir lapan bulan terbabit dalam perniagaan kedai kopi yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

“Kedai kopi ini adalah satu usaha sama yang dibuat di atas persetujuan dua pihak, tapi ia tidak dilaksanakan dengan jujur sehingga membuatkan saya berkecil hati dan ambil keputusan untuk mengundur diri.

“Dengan keputusan ini, saya hanya ingin menuntut hak yang sepatutnya diberikan kepada saya. Selama ini saya mengambil sikap berdiam diri kerana ingin perkara ini diselesaikan secara baik.

“Tapi ia tidak mendapat sambutan sehingga seperti biasalah saya terpaksa menggunakan peguam untuk menuntut hak,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.

Lebih mengejutkan apabila dia mengetahui kedai tersebut sudah ditutup dan hingga kini tidak tahu tempat barunya.

“Sekarang ini semuanya masih dalam proses perbincangan antara peguam kedua belah pihak. Tapi saya baru dapat tahu daripada peminat yang kedai itu sudah tiada.

“Saya pun tak tahu situasi kedai itu sekarang kerana saya memang sudah lama tidak berhubung dengan individu itu,” tambahnya.

Rasa terkilan

Minatnya terhadap kopi menyebabkan dia bersetuju untuk beri kerjasama dengan rakan perniagaan.

“Saya berikan sepenuh hati untuk usaha sama ini dan sumbangan yang sewajarnya, tapi sebaliknya yang berlaku.

“Jadi saya pun enggan panjangkan isu ini dan ambil keputusan untuk tidak terbabit dan berdiam diri.

“Sebelum itu saya sudah bertemu dengannya untuk keluar dari perniagaan ini dan saya cuma tuntut hak saya.

“Tapi sampai hari ini saya belum terima sehingga terpaksa minta bantuan pihak guaman,” katanya.

Baca juga: Dulu berlakon jadi anak, aktres ini bakal warisi harta Stephen Chow bernilai ratusan juta ringgit?